Friday, February 8, 2013

Sambutan Pesta Ponggal 1Malaysia



Sambutan Pesta Ponggal 1Malaysia telah diadakan di perkarangan tapak perhimpunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Barathy pada 1 Februari 2013. Pesta Ponggal 1Malaysia ini dianjurkan oleh Pergerakan Wanita MIC dengan kerjasama pihak sekolah.

Matlamat utama Pesta Ponggal 1Malaysia ini adalah untuk memupuk semangat perpaduan dan saling hormati-menghormati antara kaum . Di samping itu juga, aktiviti seperti ini  akan mampu mewujudkan semangat berpasukan,bertoleransi serta keprihatinan  dalam kalangan rakyat  yang  berbagai-bagai kaum bagi memastikan kesejahteraan dan kerukunan hidup terus terjalin.
             
Sambutan Pesta Ponggal 1Malaysia ini sangat meriah.  Pelbagai kaum turut mengambil bahagian dalam pesta ini.  Sebanyak 70 buah dapur telah disediakan oleh penganjur bagi tujuan memasak nasi Ponggal.
            
 Pesta  Ponggal 1Malaysia  kali ini telah dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung. Dalam ucapan tersebut, beliau menyeru semua  yang hadir agar dapat terus menzahir  dan mengekalkan semangat perpaduan antara rakyat Malaysia tanpa mengira kaum .  Menurut beliau lagi, pihak kerajaan sentiasa mementingkan pemupukan semangat perpaduan ini demi kelangsungan kesejahteraan yang sedang kita kecapi  hingga ke hari ini. Turut hadir pada hari tersebut  adalah  ADUN Kawasan Derga YB Dr. Cheah Soon Hai  dan Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah.


 Hadiah-hadiah sagu hati turut disediakan oleh pihak pengajur untuk semua yang mengambil bahagian dalam memasak acara memasak nasi Ponggal. Di samping itu juga, hadiah-hadiah berupa hamper bagi acara cabutan bertuah   telah  turut disediakan . Puan Guru Besar SJK(T) Barathy, Puan S.Amuniyammal dan para VIP yang lain telah menyampaikan hadiah-hadiah tersebut kepada peserta dan pemenang cabutan bertuah.
            Pesta Ponggal 1Malaysia tamat pada jam 6.30 petang. Tahniah kepada semua yang mengambil bahagian dan memberikan kerjasama  dalam menjayakan program ini. Semoga program yang mampu memupuk semangat kerjasama dan kesepaduan  ini akan diteruskan pada masa-masa akan datang.















No comments: